Pages

19.5.16

Pengalaman belajar di luar negara mengajar erti kehidupan.

         Pengalaman mematangkan kita. Ramai yang berkata sedemikian dan tepat sekali apa yang diperkatakan oleh mereka. Peluang untuk belajar di luar negara merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Walaupun hanya berada di Amerika tidak sampai setahun, tetapi telah banyak perkara yang saya belajari. Perkara yang sangat terkesan dalam hati ini apabila saya belajar yang kita jangan mudah berprasangka buruk terhadap orang lain. Don’t discriminate others. Don’t be so prejudiced.

         Pada mulanya, saya teragak-agak untuk mengambil subjek Politics of Identity kerana subjek itu bukannya wajib, tetapi bagi mencukupkan kredit pada semester itu, saya pun mengambil subjek itu. Jujur saya katakan subjek-subjek yang perlu membaca bukannya minat saya dan seringkali saya merungut kerana terpaksa ambil subjek membaca. Saya juga tidak terlalu fokus apabila belajar subjek ini namun apa yang menyedarkan saya, kelas ini sedikit sebanyak mengajar saya untuk melayan semua orang dengan sama rata tidak kira bangsa, negara, agama dan lain-lain.

         Hatta, Rasulullah sendiri mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada semua orang. Pada hari ini banyak berlaku pergaduhan yang disebabkan perbezaan agama. Ada yang berpendapat hal ini berpunca daripada orang Islam itu sendiri. Jika kita lihat balik pada sejarah, bagaimana Rasulullah sendiri memberi kebebasan dalam beragama kepada penduduk Mekah setelah baginda berjaya menakluki kota Mekah. Bagaimana mungkin Islam itu mengajak kepada keburukan? Pada hari ini juga, kita lihat betapa ramainya orang yang berkuasa menindas orang yang lemah. Orang yang kaya menindas orang yang miskin. Kaum majoriti mengambil kesempatan terhadap kaum minoriti. Tanpa kita sedari, kita telah melanggar perintah Allah.

         Dalam Surah an-nahl, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (16:90)

         Kadang-kadang tanpa kita sengaja apatah lagi dengan sengaja, kita seringkali melayan orang dengan tidak adil. Kita akan melayan orang dengan baik bila mana kita suka berkawan dengan seseorang dan kita berkasar dengan orang yang kita tidak berkenan kerana seseorang itu tidak ada persamaan dengan kita. Hal ini disebabkan kerana perbezaan dari segi agama, bangsa, status dan lain-lain. Ia dikatakan sebagai in-group favoritism ataupun in-group bias.
        
“The tendency to respond more positively to people from our in-groups than we do to people from out-groups.”

         Perkara ini kelihatan seperti biasa kerana seringkali berlaku tanpa kita sedari. Memang sukar untuk kita buang perilaku diskriminasi ini, saya juga masih melatihkan diri untuk tidak berlaku prejudis terhadap orang lain. Dalam konteks orang Islam sendiri, dahulu saya seringkali berprasangka buruk terhadap orang yang sewenang-wenangnya melanggar perintah Allah, walhal saya juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dahulu, kini dan selamanya.

         Dahulu, saya berprasangka buruk terhadap orang yang tidak menutup aurat. Dahulu, saya berprasangka buruk terhadap orang yang merokok. Dahulu, saya berprasangka buruk terhadap orang yang tidak solat. Dahulu, semuanya tidak kena pada pandangan saya. Pada sangkaan saya, saya lah yang betul, orang lain salah. Betapa ceteknya pemikiran saya.

         Mungkin kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan keagamaan. Alhamdulillah, sedikit sebanyak hal keagamaan saya dijaga walaupun hakikatnya tidak sempurna. Saya tidak pernah memikirkan bagaimana kehidupan orang lain. Adakah mereka juga dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan keagamaan? Boleh jadi keluarga mereka tidak begitu mementingkan keagamaan yang menyebabkan mereka juga endah tidak endah terhadap agama. Walhal, ada juga yang dididik dengan agama, tetapi sering kali melakukan dosa dan kesilapan (saya sendiri). “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa.”

         Suka saya ingatkan yang kita perlu muhasabah diri. Perlu untuk kita ambil sedikit masa untuk cuba merasai bagaimana kita ditempatkan dalam kehidupan orang lain. Hal ini akan membuatkan kita rasa bersyukur dengan apa yang kita ada selama ini. Tidak semua orang sempurna. Mungkin pada pandangan kita, dia lah yang terbaik sedangkan dia juga buat kesilapan dan sebaliknya. Apa yang ingin disampaikan, jangan sesekali kita mudah berprasangka buruk terhadap orang lain. Jangan mudah menghukum orang lain kerana kita juga melakukan kesalahan.

Improve yourself, and call upon others












No comments:

Post a Comment